Saturday, May 21, 2011

~ingatlah 2 perkara, lupakan 2 perkara~......

Berkata Imam Ghazali dalam Ihya:
"Orang yang paling utama ujian atas kebaikan akhlaknya ialah: Sabar atas kesakitan dan tahan atas kekasaran orang. Siapa yang mengadu dari buruk akhlak orang lain nescaya yang demikian menunjukkan kepada buruk akhlaknya".

Keterangan:

Bersabda Rasulullah: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang baik akhlaknya". Di sini Imam Ghazali memberi panduan, baik atau tidak seseorang itu, maka 3 perkara boleh dilihat pada lahirnya:
1. Sabar atas sakit yang menimpa dirinya.
2. Tahan atas kekasaran orang
3. Tidak mencerita-ceritakan keburukan orang

Orang yang sakit itu dia bersabar atas sakitnya kerana dia sudah dapat merasakan yang sakit itu adalah kifarah (tebusan) daripada Tuhan atas dosa-dosa yang dilakukannya. Sesungguhnya sakit itu adalah penghapusan dosa, dengan syarat bersabar atas sakit itu. Rasulullah bersabda: "Hairan aku pada orang mukmin, semuanya baik pada mereka. Bila ditimpa ujian, dia bersabar, dan itu baik. Bila diberi kesenangan, dia bersyukur, dan itu baik." Dan salah satu adab bagi orang sakit itu bila dikunjungi ialah dia tidak mengadu-adu kesakitannya pada tetamu yang menziarahinya. Sunat pula pada yang menziarah itu mendoakan kesihatan pesakit dan menasihatinya agar bersabar.

Diceritakan Rabiatul Adawiyah jatuh sakit dan dikunjungi oleh 4 orang yang semuanya itu wali-wali Allah. Dikhabarkan salah seorang dari mereka itu ialah Hasan Basri. Berkata seorang wali itu menasihati Rabiah, "hendaklah kamu bersabar atas sakitmu",. dijawab oleh Rabiah, "ada yang lebih tinggi daripada sabar". Berkata seorang wali lagi, "hendaklah kamu redha atas sakitmu." Dijawab Rabiah, "œada yang lebih tinggi daripada redha." Berkata yang seorang lagi, "hendaklah kamu syukur atas sakitmu." Dijawab Rabiah, "ada yang lebih tinggi daripada syukur." Lalu Rabiah berkata, "Ketahuilah olehmu aku sudah melupakan sakitku ini."

Tahan atas kekasaran orang bermaksud boleh menerima keuzuran atau kelemahan orang lain. Dia bukan tidak marah tetapi tahan marah atas kemarahan orang lain terhadapnya. Bilamana seorang sahabat berkata kepada Rasulullah,"berilah nasihat kepadaku". Lantas Rasulullah menjawab, "janganlah kamu marah" Ditanya sebanyak 3 kali, dijawab yang sama oleh Rasulullah sebanyak 3 kali juga. Berpesan Rasulullah dalam hadis yang lain, "bukanlah yang dikatakan wira itu orang yang boleh mengalahkan musuhnya, tetapi wira itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya di waktu marah."

Tahan dengan kekasaran orang juga menuntut kepada tolak ansur, berlebih kurang dan berlapang dada. Orang yang boleh berbuat begini ialah orang yang mempunyai rasa kehambaan yang tinggi. Bila dia dicaci atau dihina mahupun dimalukan dihadapan orang lain, dia berkata-kata kepada dirinya, "Layaklah aku dicaci dan dihina, memang aku ini hamba." Dia merasakan adalah dosa-dosanya dengan Tuhan yang membuatkan hal sebegini terjadi pada dirinya.

Berkata Abuya Syeikh Ashaari: "Ingatlah 2 perkara, lupakan 2 perkara, iaitu ingat-ingatkan kebaikan orang pada kita dan ingat-ingatkan kejahatan kita kepada orang. Lupa-lupakan kejahatan orang pada kita dan lupa-lupakan kebaikan kita kepada orang." Tidak mudah untuk berbuat kerana biasanya seorang itu akan ingat sungguh kejahatan orang kepada dirinya. Malah dicerita-ceritakan keburukan orang tersebut pada orang lain.
Hanyasanya dibolehkan menceritakan keburukan orang ini pada beberapa tempat, seperti hendak mengadu kepada qadhi meminta diberi pengadilan, meminta nasihat daripada pemimpin atau orang yang selayaknya dan menceritakan keburukan yang sudah berleluasa serta boleh membahayakan orang ramai.

Telah disebut di dalam satu hadis, bahawa orang yang Allah hendakkan kebaikan padanya maka dijadikan dia itu dapat melihat kekurangan dirinya. Maknanya, tidaklah dia itu sempat menilai-nilai atau memperkatakan keburukan orang sedangkan dia itu cukup sibuk memerhati dan membetulkan keburukannya sendiri. Kalaupun dia nampak kejahatan orang, dia menyembunyikannya. Dia bersangka baik pada orang yang berbuat jahat itu, berharap orang itu akan sedar akan kesalahannya dan bertaubat. Dia turut mendoakan orang tersebut mendapat petunjuk.

Itulah sebabnya Rasulullah menganjurkan dalam hal-hal agama, maka dilihat kepada orang yang lebih atas daripada kita. Supaya kita dapat mengusahakan berbuat sepertimana orang tersebut. Agar kebaikan orang itu menjadi contoh ikutan kita. Malah, dalam perbualan kita seharian, yang diceritakan adalah kebaikan orang dan bukannya keburukan orang. Janganlah kita melihat kepada orang yang bawah daripada kita hingga kita merasa diri kita lebih baik daripada orang itu. Ini kerana orang yang merasa diri baik itu, sebenarnya dia telah membuat dosa tanpa sedar.

-Selesai-
Email dr rakan.





--------------------------------------------------------------
""Mereka yang bermujahadah seringkali menangis lemah disisi Allah. Tetapi Allah menguatkan dia disisi manusia. Berbahagialah hati, berjuanglah kerana Allah walaupun payah kerana itu jalan hidayah dan jalan menuju ke syurga. Insyaallah.."
http://www.salamcyber.com/forum/view_topic/264/Akhlak_Yang_Baik/

No comments: